Friday, August 27, 2010

Oh my

In every trees and the sound of the buzzing bees,
Every second of my time flee

The humming birds stood still,
But I'm looking for my only bee

I wish we were just a dream in every scene,
Complete our journey oh me

Passing the sweetness through your smile,
Our path through million miles

Tell me the story of the fallen trees,
Where the birds stood and sing

Let them sing and oh please set them free
Oh my honeybee

Wednesday, August 25, 2010

Terang Bulan

Seperti semalam, kau kelihatan sungguh cantik. Tetapi semalam aku hanya berani melihat, tak berani aku menegur.

Seperti semalam, kau bercahaya sungguh indah tanpa dipaksa. Hanya hari ini aku berani menulis.

Tanpa pakaian kau menunjukkan cahaya, tanpa seurat benang kau menerangi, seperti kitab karmasutra ajaran Sang Brahmin.

Jika kau boleh bersuara alangkah ajaibnya dunia, Jika kau boleh berkata-kata, pasti Sang Sufi takkan terlena, Jika kau boleh berbual mesra, uda dan dara tidak akan berpisah.

Diselimut awan kau berlindung, dilangit hitam kau bersenandung, bintang kecil jadi penyambung.

Terangilah dunia ini sekali lagi..jangan sekali kau berhenti, manusia merindui si Bulan yang berahi.

Tuesday, August 24, 2010

Petang itu, 20 tahun dahulu.

Petang itu, 20 tahun yang dahulu, ketika pokok rambutan dan cermai masih lagi berbuah dan aku yang masih anak kecil menunggu muazin melaungkan azan.

Petang itu, dirumah datuk, rumah kayu itu, lebih sepuluh dari kami berkumpul. Lauk pauk pelbagai jenis menanti. Si makcik memang mahir memasak. Datuk dan nenek telah tiada. Tinggallah pakcik makcik dan anak anak nya. Terselit aku sekali.

Peti televisyen, petang itu terpasang. Masing masing sudah bersila menunggu. Masuknya waktu azan semuanya meriah mengamin doa si tua.

Hari ini setelah 20 tahun dari petang itu, segalanya telah berubah. Dari sepuluh yang ada petang itu, hanya tinggal dua. Yang dua itu, pakcik dan makcik yang semakin tua.

Berbukalah mereka dengan hanya tiga lauk sepinggan kurma dan air sejuk. Berdoalah mereka berdoa. Menghabiskan sisa-sisa tua. Tiada lagi hiruk pikok anak muda. Semuanya telah berkeluarga.

Yang tinggal hanyalah kenangan, yang tinggal hanyalah memori. Jika ada yang mengambil gambar itu lah bukti kehidupan kami. Kehidupan yang serba sederhana tapi penuh warna warni.

Akan tiba jua saat tua aku..hanya masa menunggu.

Thursday, August 19, 2010

Hati Adam dan Hawa

Aku tidak terkejut mengapa banyak pihak mula bersuara akhir-akhir ini. Begitu kerap sekali berita bayi terbuang menjadi cerita utama di surat-surat khabar. Semua mulai memberi pandangan dan tidak terkecuali pihak-pihak yang meluahkan rasa bimbang mereka. Sehinggakan hukuman mati turut dikatakan akan dikuat kuasakan kepada mereka yang didapati bersalah.

Pagi tadi sewaktu aku membelek surat khabar, terjumpa aku satu cerita pendek. Cerita pihak yang mempersalahkan sambutan tahun baru dan hari kekasih sebagai menyumbang kepada kelahiran bayi bayi itu.

Bagi aku, aku tidak faham mengapa pihak ini mempersoalkan sambutan ini. Betul sambutan ini berlaku pada tengah malam, rata-rata remaja dan muda mudi. Sambutan ini dirayakan oleh seluruh manusia. Jadi apa kena mengena sambutan ini dengan pembuangan bayi-bayi ini.

Selain itu, kemudahan mendapatkan video-video lucah yang boleh dimuat turun di internet turut di jadikan alas an kepada faktor pembuangan bayi.

Aku yang tidaklah begitu cerdik, merasakan bahawa menyalahkan sambutan tahun baru dan industri filem lucah sebagai pernyataan yang kurang bernas. Adakah dengan mengharamkan sambutan perayaan itu akan mengurangkan kejadian- kejadian ini? adakah dengan menyekat penggunaan internet juga akan mengurangkan hawa nafsu seseorang?

Sokongan hujah ini diselitkan dengan kejadian seks bebas antara muda mudi. Dikatakan pada tarikh 1 januari tiap tiap tahun akan menjadi musim seks bebas bagi remaja. Seperti malam itu malam bersenyawa antara satu sama lain. Tidak kurang juga dengan pengaruh cerita cerita lucah. Kononnya aksi aksi ini akan ditiru oleh mereka.

Adakah kita semua lupa kisah Adam dan Hawa. Bila mana mereka dicampak keluar dari syurga ke dunia ini. Permulaan semua ini adalah kerana Adam dan Hawa tewas kepada pujuk rayu nafsu. Hawa nafsu, perasaan, naluri adalah sifat semula jadi manusia. Adam dan Hawa tidak terlepas dari mempunyai perasaan ini.

Jika segala perayaan di negara ini diharamkan, masalah bayi dibuang tidak akan selesai. Menutup pintu-pintu gerbang ke laman lucah juga tidak akan berjaya menutup pintu nafsu manusia. Mengenakan hukuman mati sekali pon tidak akan mematikan syahwat manusia. Ini jelas kerana manusia yang lahir itu diciptakan dengan akal dan nafsu.

Sudah tiba masanya semua pihak membuka mata dan minda. Mempersalahkan sambutan perayaan, industri filem lucah dan hukuman mandatori tidak akan menyelesaikan masalah ini. Sudah tiba masanya sistem dua parti di negara ini berfikir langkah yang lebih realistik dan tidak mengikut emosi. Juga sudah tiba masanya, pengajaran seks di ajar di sekolah.

Cara mendidik adalah langkah yang terbaik. Langkah ini tidak akan berjaya di dalam jangka masa pendek. Ini langkah jangka panjang. Tiba masanya pelajar pelajar dididik soal menjaga diri dan cara pembawakan diri. Proses pembelajaran akan mematangkan pemikiran anak anak muda. Jika diajar, tidaklah mereka ini memandai-mandai membuat eksperimen. Sekurang-kurangnya mereka sudah diajar tentang kemungkinan kemungkinan yang bakal terjadi jika melakukan seks bebas. Dan juga perlu diajar bahawa jika sekiranya mereka terlanjur, tidak lah digugurkan kandungan itu atau dibuang apabila ia dilahirkan. Perlu dididik ajar mereka ini supaya bertanggungjawab keatas apa yang mereka lakukan.

Bagi aku, lebih baik bayi itu dibesarkan daripada ianya dibunuh atau dibuang. Membunuh itu jauh lebih jahat dari membela satu nyawa yang tidak berdosa. Membela satu nyawa yang suci adalah jauh lebih baik walaupon anak itu tidak dilahirkan dengan lafaz nikah.

Kesimpulannya, segala nafsu itu datang kerana kita semua adalah manusia. Sebagai manusia kita diberi akal dan nafsu dan jika akal itu diasah dengan ilmu dan kefahaman, pasti nafsu itu dapat dikawal. Cara terbaik adalah cara mendidik. Masih lagi jauh untuk mencapai matlamat atau menengok hasil nya tetapi, selagi tidak dimulakan, masyarakat tidak akan berubah dan tidak akan belajar untuk berubah.

Thursday, August 12, 2010

Juadah Berbuka

Asap putih dari kotak merah, Masuklah ke dalam paru paru, Marilah bersemadi dengan ku

Asap putih pencetus kanser, Masuklah menumpang, masuklah membiak, beri aku ketenangan

Asap putih dari sebatang pendek, sehari aku kempunan, tiba masa untuk bersekedudukan

Sambil Robert Plant menyanyi kita berkhayal menari Dream On katanya siapa yang peduli

Monday, August 9, 2010

Cerita Bulan Berahi

Aku ingin berkongsi cerita. Cerita di bulan puasa, Bukan hanya untuk bercerita, tapi untuk gelak ketawa.

Cerita ini berlaku kira-kira 6 tahun lepas. Waktu itu umur aku 18 tahun baru selesai SPM. Tiada kerja, tiada duit dan tak berguna. Begitulah hidup aku tapi aku sangat gembira dengannya. Merayakan kehidupan.

Bila tiba bulan puasa, perasaan malas untuk bersahur begitu menebal. Rasa haus dan lapar membuak-buak. Walaupon setan diikat, terasa seperti ada yang terlepas, ada saja yang menghasut. Orang sahur aku sahur, orang sembahyang aku tidor.

Pada suatu hari, entah hari keberapa puasa, aku berjaya menahan lapar dan dahaga. Sepanjang hari. Tak teringin langsung nk minum dan makan. Aku berbangga. Setan kecewa.

Waktu berbuka hampir tiba, tinggal lagi 2 jam. Bazar pon sudah mula memasang payung, awek-awek kampung semua berkeliaran, mat mat motor sebuk memulas enjin. Bingit. aku mencarut. Kurang satu pahala. Setan mula tersenyum melihat gelegat aku. Mata sudah mula melihat gadis gadis. Meliar. Sekali lagi dia tersengih, kali ini nampak giginya yang merah. Setanlah!.

Air tebu, air soya, apam balik, kuih koci, ayam golek, jagung rebus, putu mayam, air kelapa, mee goreng, char kuew tiaw, aahhh kau sebut saja. Nafsu serakah mula gundah. Aku tidak tenteram melihat air tebu ayam percik dan roti john. Aku pon membeli dengan niat mahu berbuka nanti.

Oh ya lupa, aku ditemani saorang rakan. Rakan yang dari kecil sudah aku kenal. Sejak dari umur aku 5 tahun. Dia pon begitu sama juadah yang kami beli. hati puas berjalan kaki pulang. Matahari semakin lembik turun ke barat. Cantik sungguh petang itu. Secantik ayam percik dan air tebu.

Dipertengahan jalan, datang si setan itu. Tak pula aku nampak susuknya, tapi aku boleh rasa dan dengar suaranya memanggil-manggil.Hati terdetik, lalu aku berkata-kata, pukol berapa sekarang ngah? (nama manja kawan aku). 6.15 katanya.
Uish lagi 50 minit. Setan terus menunjuk arah berjalan. Sampai aku disatu semak. Semak rimbum yang terlindung dari mata kasar manusia. "Masuklah kesitu" kata setan itu.

Seperti di 'posses' aku menurut kata makhluk itu, Si Ngah tadi pon seperti setuju. Dalam tidak disedari kami sudah berada di dalam semak itu. "Apa lagi bukalah seluar' Eh bukan, tersasul kata setan itu, Bukan buka seluar, bukalah juadah itu. Masih panas lagi ayam percik air tebu tu nanti suam tak sedap. Makan lah cepat, cepat!

Tanpa berfikir dua kali, zasss..zaapp errkk kami melantak. Tiba-tiba muncul pulak mak cik entah dari mana. Kelam kabut aku, sampai jatuh ayam percik aku ke tanah. Semak yang tadi tenang tiba-tiba bergerak gerak, seperti ditup angin kencang. Dari celah celah itu, aku nampak orang tua itu berhenti, tercegat melihat semak yang tiba-tiba menjadi ganas. Aku tidak pasti samaada dia nmpk atau tidak kelibat kami. Yang pasti dia berlari kembali ke rumahnya. Takot agaknya mak cik itu.

Ayam aku sudah jatuh air tebu dan roti john sudah habis. Tak punya lagi erti kami melihat kanan dan kiri, terasa seperti free kami melompat dan berlari, cuba untuk tidak dilihat oleh sesiapa, kami sampai juga dirumah. Berlagak seperti ahli sufi yang solehin.

Jam di dinding sudah pukol 7pm. Lima minit selepas itu si tukang azan melaungkan bang, aku yang sudah kenyang tiba2 tersedar yang setan itu tiada lagi, kemana makhluk kecil tadi? Rupa-rupanya dia sudah berlari, tersenyum berseri2, satu lagi anak adam tewas dengan pujuk berahi. Apa yang tinggal hanya dosa dikiri dan gelak ketewa sampai ke hari ini.

Selamat Berpuasa untuk semua semoga hidup ini terus berseri...

Sunday, August 8, 2010

Terima Kasih Melissa

Datang lah ke tingkap aku
Walau ia jauh seribu batu

Datanglah ke tingkap aku
Walau ribut tiba bertalu

Datanglah ke tingkap aku
Walau aku tiada, jangan sekali kau buntu

Kalau ia terkatup janganlah kau hampa
Kalau ia terkunci janganlah kau terus membenci

Datanglah ke tingkap ini
Esok atau lusa suka hati

Datanglah ke tingkap ini
Aku akan tetap memberi

Datanglah ke tingkap ini
Kau hanya akan membawa seri

Dunia pasti iri hati melihat kita tersenyum dibawah matari.
Bulan kelam tak bercahya kecewa membawa diri
Tapi kita masih punyai bintang bintang yang tidak akan jauh lari..

-Diadaptasi dari Melissa Etheridge 'Come to my window'