Monday, August 29, 2011

Mengenang Aidilfitri

Aku melihat kematian sejak dari usia yang kecil, aku masih ingat ketika aku berusia 5 tahun, aku melihat sang doktor datang ke rumah datuk untuk merawat jantungnya dan itulah kali pertama aku memegang 'stetoskop'. Sebulan dua selepas itu datuk pergi mengadap Ilahi. Kala itu, aku duduk betul-betul di hadapan arwah ayah dan aku sendiri melihat dia meratapi kematian bapanya dengan penuh kesedihan. Tidak berapa lama selepas itu, nenek pula mengikut jejak datuk.

Menyusuri arwah datuk dan nenek adalah abang kepada bapa aku, penyakit nya tidak aku ketahui dan tidak silap aku ia terjadi sekitar tahun 93. Sekali lagi bapa meratapi kematian abang kandungnya dengan penuh kesedihan dan seperti telah diarahkan aku duduk di tempat yang sama dimana aku melihat arwah datuk terbaring kaku beberapa tahun yang sudah.

Tahun 1997 giliran bapa pula mengadap yang Maha Esa. Aku berumur 10 tahun dan tidak lah aku benar benar fahami maksud kematian ketika itu. 2001, kakak sulung kepada arwah bapa pula tiba saatnya untuk pergi. Dia salah seorang yang benar benar rapat dengan aku sejak tiadanya arwah bapa, sebulan selepas itu seorang lagi ahli keluarga bapa menemui ajal. Dia yang aku panggil Pak Andak amat rapat sejak aku belom pandai berjalan apatah lagi berlari.

4 bulan yang lepas, ibu angkat aku, meninggal akibat sakit buah pinggang. Dia yang aku panggil mak, kerana menjaga kau dari kecil pergi ketika aku berada di perantauan. Aku benar benar patah hati terasa seperti kehilangan seorang ibu. Kecewa, marah dan geram tidak dapat aku hindari perasaan ini. Beberapa hari yang sudah, ibu tiri kepada emak pula yang ditarik nyawanya. Juga aku tidak dapat hadir kerana masih berada diperantauan hanya menerima panggilan dari hujung telefon. Aku kecewa kerana tidak dapat melihat mereka tidak dapat mengusung jenazah mereka seperi mana mereka pernah mendukung aku dikala kecil dahulu. Semuanya tidak dapat aku balas.

Kepada semua umat manusia, hendaknya berhati hatilah ketika memandu untuk pulang menyambut cuti. Aku telah merasai banyak kematian dan melihat banyak kesedihan dan aku sangat memahami perasaan ketika menerima berita berita sebegini. Dan juga sempena lebaran tahun ini sama sama lah kita mengutuk serangan keatas umat manusia
Bukan hanya mengenang mereka di Palestin dan Iraq, tetapi mereka di Kashmir, Tibet, Afrika dan segala ceruk dunia.

Semoga lebaran tahun ini, kita dapat menilai bahwasanya, mengutuk tindakan kejam ini adalah wajib bukan kerna kita dijanji kan surga dan pahala, tetapi bahwa kita tidak mahu melihat si anak menangis di sisi ibu, kita tidak mahu melihat sang emak meratap duka kematian si anak tunggal dan percayalah bahwasanya melihat pemergian orang orang tersayang adalah suatu perasaan yang tidak dapat diungkap dengan kata kata.

Salam Aidilfitri untuk semua umat manusia dari Gwangju.

Monday, August 22, 2011

Selamat Jalan Untuk kali Ini

Bila kah nafas ini akan terhenti, mungkin esok mungkin lusa,
Bila kah kita akan terus menyedut isi isi bumi, mungkin seratus tahun lagi.
Dan jika kita tidak lagi bernafas keesokkan hari, wajah siapa yang ingin kita lihat dan ratapi.

Bila nafas ini sudah terhenti,adakah bisa kita mengenal janji janji yang ditaburi,
Di lubuk hati kita, masih adakah rasa yang ingin di kongsi jika esok kita tiada lagi
Inginkah kita mengucap maaf dan meminta ucapan sayang buat kali ini.

Maafkan aku jika aku tidak dapat menghadir diri melihat engkau pergi
Perjalanan itu hanya seperti mimpi, perjalanan itu perjalanan sendiri.
Jika aku menyusul nanti, ntah bila siapa yang pasti, tapi apa yang pasti aku akan memeluk kau dan kita bakal berjalan kembali.
Berjalan di alam yang aku dan engkau tidak pernah alami melihat wajah wajah yang pernah aku sayangi dan mereka juga akan gembira kerana pertemuan ini tercipta lagi
Ketika itu aku pasti, rasanya akan sama seperti kita baru bersua untuk pertama kali.


Buat semua yang telah pergi dari alam ini


Khas buat Halimah Idid 1938-2011








Monday, August 15, 2011

Semoga berjaya Cesc

Berita pemindahan Cesc Fabregas ke pasukan handalan Barcelona amat mengecewakan aku. Tidak pernah aku berasa sebegini kecewa melihat seorang pemain bola pergi meninggalkan kelabnya. Semasa Thierry Henry berpindah ke Nou Camp aku tidak sekecewa ini.

Impian Cesc untuk pulang ke kelab asalnya setelah hampir 9 tahun di kota London sudah tercapai. Aku memahami hasratnya dan impiannya. Dia meninggalkan kelab Catalan itu sewaktu usianya 16 tahun untuk menimba pengalaman di Liga Perdana Inggeris dan di Arsenal, dia diangkat sebagai kapten dan juga salah seorang dari 11 pemain yang berjaya mengharungi 38 perlawanan tanpa kalah tahun 2003.

Namun dia juga sama seperti manusia manusia lain yang punyai mimpi dan cita cita. Setiap pada kita juga ada mimpi dan cita cita. Harapan dan impian kisah suka dan duka. Ini lah perjalanan hidup manusia yang belom pasti warna jalannya dan yang belom pasti selok beloknya.

Apa yang pasti kita hanya perlu berjalan terus melangkah apa saja halangan. Semoga beliau dapat bertemu surganya di sana.

Tidak pernah aku berasa sebegini sedih apabila bercakap soal bola sepak.



Salah satu aksi magik dari Cesc, antara yang gol terbaik yang pernah dihasilkan.

Thursday, August 4, 2011

Nasi kosong dan kuah kari

Aku berbuka dengan nasi kosong dan kari daging yang aku masak sendiri. Tiada kuih tiada air buah tiada kurma dan tiada teman. Selama 25 tahun ini lah kali pertama aku merasai ramadhan sebegini. Walaupon aku bukannya penganut yang taat, namun perasaan untuk merasai nikmat berbuka itu masih ada.

Sewaktu aku membesar aku tidak gemar berbuka bersama emak dan arwah bapak, aku lebih suka ke rumah nenek yang jauh nya hanya 30 langkah tapak kaki dari rumah orang tua aku. Sebabnya disana suasananya meriah, juadahnya banyak walaupon kebanyakkan hari nya aku tidak berpuasa. Dirumah orang tua aku, hanya emak dan bapak, kedua dua kakak aku sudah pon berumah tangga ketika usia aku baru 8 tahun. Abang aku aku tidak ingat, mungkin dia ada bersama aku ataupon dia kerumah pakcik yang juga tidak berapa jauh.

Setelah bapak pergi, aku masih berbuka di rumah nenek kerana suasananya, emak sudah memahami tetapi kadang kadang aku berbuka dengannya cuma jarang dan dia tidak kisah. Di asrama juga begitu sehingga ke universiti, asalkan suasananya meriah aku akan pasti gembira.

Tapi, itu semua hanyalah kenangan, rumah nenek tidak semeriah dahulu, semua membawa haluan, aku percaya ini lah perjalanan hidup setiap manusia. Yang datang pasti akan pergi, yang muda pasti akan tua, yang gagah pasti akan lemah dan yang dikasihi ada kalanya mengkhianati. Mungkin begini lah perasaan Yunus di Lebanon sewaktu mengangkat senjata, maut ada menanti setiap masa, mungkin begini lah perasaan emak yang juga keseorangan, mungkin begini lah perasaan Muhammad ketika dibenci Bani Quraisy, mungkin beginilah perasaan banduan banduan dipenjara, mengigati yang dikasihi, merindui yang disayangi menyesali seribu janji.

Kita hanya mampu berjalan mampu mendongak tapi belom pasti dapat mengagak apa yang menanti. Salah dan silap itu sudah pasti terjadi, tengking herdik itu kadang kala permainan diri. Itulah kita jasad yang selalu alpa jasad yang entah berapa kali bersumpah berjanji.

Ramadhan setiap tahun kita akan memberi kata yang sama, meminta pengampunan yang sama, menangis atas kesilapan yang sama, tapi kita lupa, yang kita hanya jasad lemah dari secebis tanah. Rayakan ramadhan ini bukan hanya semata mata mahu mencari firdausi, perbaiki diri dan duniawi.

Salam Ramadhan dari Gwangju.

Monday, August 1, 2011

Kata adalah senjata

Kelakar sekali apabila aku membaca hasil tulisan salah seorang kontributor utusan, beliau menulis tentang perjuangan saorang sasterawan Indonesia yang menulis begitu kritikal sekali tentang kerajaan regim suharto.

Sasterawan yang di maksudkan adalah Pramoedya Ananta Toer. Dia dikaitkan dengan gerakan komunisme oleh pak harto, dan dicampak ke lembah penjara tanpa bicara selama beberapa lama. Di dalam tulisan si pengarang, dia menceritakan bagaimana kerasnya tulisan Pak Pramoedya sehingga pemimpin negara itu begitu takot dengan kedua dua belah tangan nya. Tulisan nya juga tidak lebih hanya untuk memperkecilkan tindakan sasterawan negara Pak Samad Said yang turun kejalan raya beberapa minggu sudah.

Di dalam tulisan beliau, dia menulis, "Dia melampaui seorang sasterawan, sebaliknya melibatkan diri dalam perjuangan politik membela golongan yang menjadi mangsa pijakan elitis politik." "Pramoedya yang sangat dibenci sekali gus digeruni oleh diktator seperti Suharto bukanlah kerana dia turun membuat demonstrasi di jalanan" "Pena di tangan sasterawan jauh lebih berbisa daripada lontaran kata-kata retorik orang politik kononnya menjadi pejuang rakyat.
Maka bersatulah sasterawan untuk berjuang menggunakan pena, bukannya turun ke jalan raya".


Aku hanya mampu ketawa kecil apabila tulisan ini diterbitkan. Sekecil itu fikrah dan sudut pandang saorang yang mengaku diri nya sebagai penulis. Tapi ini bukan sesuatu yang pelik bin hairan. Ingatilah bahawa, suatu masa dahulu, perawi-perawi digunakan olih Yazid ibnu Muawwiyah untuk menjustifikasikan tindakannya melenyapkan darah daging Muhammad. Ia, benar ianya pembunuhan dan tiada kena mengena dengan tulisan penulis ini, tetapi modus operandi dan niat asalnya adalah sama , untuk mengumpul kata setuju. Mengolah kata tidak kepada ya, iaitu sasterawan patot fokus kepada tulisan bukannya turun ke jalanraya.

Perhatikan dimana penulis ini bijak mengambil contoh, diambilnya sasterawan yang dipercayai simpatisan terhadap komunis dan dikarang ayat seperti diktator dan gerilya untuk menghalalkan niat utama tulisannya. Adapon ini semua adalah taktik akhir penjilat penjilat kuasa untuk menjilat beberapa titis air kuasa yang menitik dari hujung kerusi takhta.

Jika Pak Pramoedya digeruni dengan tulisan dan tangannya, Pak Samad Said juga digeruni dengan keberaniannya menolak jaringan kuasa rakus dan jijik dengan turun kejalan raya. Jika Pak Pramoedya, ditakuti dengan jerit laung nya dari tulisan dan buku buku, Pak Samad Said juga ditakuti dengan kebisaan tangannya, kekuatan prinsipnya yang ingin membebaskan Malaysia dari regim rakus.

Pak Pramoedya dan Pak Samad adalah contoh dua sasterewan yang tidak tunduk kepada taik kuasa. Tidak tunduk kepada penjilat najis harta dan tidak sujud pada kaki sang perakus takhta.