Saturday, May 15, 2010

1992

Tahun itu tahun 1992, teratak usang yang sudah berusia lebih 50 tahun penuh dengan saudara. Aku yang masih belom potong lagi ketika itu hairan mengapa hari ini penuh saudara. Apa yang istimewanya?

Jam 8 malam. Set TV jenama National 15 inchi sudah dipasang. Tidak pula dipasangnya berita RTM seperti selalu. Aku duduk diriba arwah Mariam, makcik aku. Ditangan nya dipegang sirih, dan disapu kapur untuk di jadikan sempal. Sepupu aku ramai yang tidak sabar menunggu di depan set TV. Beberapa minit kemudian semua bersorak. Rupanya ada perlawanan Badminton. Hari itu aku tidak tahu sejarah bakal tercipta. Mariam memberitahu aku Malaysia bertemu Indonesia pada aksi akhir.

Aku sudah mengenali kelibat Rashid Sidek. Namanya cukup popular ketika itu. Lawannya waktu itu adalah Ardy Wiranata, nombor satu Indonesia. Sengit memang sengit hampir roboh teratak usang itu. Riuh nya semacam dirasuk setan.

Ketika itu arwah Mariam berkata pada aku yang teruja dengan suasana riuh rendah itu. Indonesia main taktik kotor. Dibawa nya bomoh dari sana. Aku yang teruja percaya. Tetapi bomoh Malaysia lebih handal. Kita menang malam itu dan suasananya gamit. Pekik terlolong semuanya merayakan kemengangan negara.

Kini 18 tahun selepas itu, Mariam pon sudah tiada, saudara semua ramainya sudah berkeluarga. Set TV sudah lebih besar inchi nya siap dengan dikoder astro untuk penghibur. Namun, tiada pula pekik lolong seperti 18 tahun dahulu. Tiada lagi sirih dan kapur hanya rokok sebagai pengganti. Semuanya tidak sama.

Tetapi hari itu, tidak akan aku lupakan kerana hari itu, tanggal 16 May 1992, Malaysia menjulang Piala Thomas dan jerit pekik keramat itu seperti baru semalam menggamit telinga aku.

Monday, May 3, 2010

28-4-10

Malaya sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kematian remaja berumur 15 tahun. Satu Malaya ingin tahu cerita ini, semua orang membuka mulut tentang cerita ini, semuanya dengan teori dan pandangan sendiri. Ada yang simpati pada keluarga arwah ada juga yang mempersoalkan keluarga arwah dan tidak kurang juga pada yang bersikap adil di dalam hal ini.

Aku pula bukan mahu bercerita tentang bagaimana arwah boleh keluar jam 12 tengah malam, dan aku tidak mahu mempersoalkan mengapa polis perlu menembak dari arah belakang. Semua ini telah dibincangkan oleh semua orang baik dari kampung dan di bandar. Apa saja yang berlaku telah ditakdirkan, biarlah keluarga menuntut keadilan dan polis menyiasat.

Cumanya kita yang memerhati dan membaca kes ini tidak langsung peduli apa yang bakal berlaku pada rakyat Malaya. Kisah trajik ini akan menjadi bahan sejarah yang akan mendidik semua rakyat Malaya. Jika tidak kerana kematian trajik ini, rakyat tidak langsung ambil peduli tentang beberapa kes kematian yang melibatkan unsur-unsur kelalaian pihak tertentu. Berapa ramai yang sudah mengambil berat tentang kematian Beng Hock, Kugan dan Norizan yang ditembak 5 kali? Berapa ramai pula yang sudah mula membuka buku tentang prosedur pihak polis sebelum menembak seseorang? Berapa ramai yang sudah mula membaca tentang isu-isu hak asasi? Apa yang pasti jumlah nya sudah meningkat.

Buktinya, di dalam 24 jam, 10,000 orang sudah menunjukkan sokongan dengan menjadi penyokong di laman Facebook, dan di dalam masa seminggu, angkanya sudah menjadi 57,000. Dan di dalam 57,000 semuanya mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Terdapat beberapa perbalahan pendapat di dalam topik-topik yang diterbitkan tetapi ini semua proses mematangkan rakyat Malaya sendiri. Malaya sudah berani membincangkan hal-hal sebegini dan sudah mula mengambil berat tentang kehilangan satu nyawa, nyawa bangsa Malaysia.

Jika dahulu, cerita cerita begini tidak begitu disensasikan kerana kononnya akan membawa perbalahan tetapi kali ini buktinya tragedi ini membawa satu pendekatan berbeza. Rakyat Malaya sudah mampu bersuara dan bertelagah pendapat untuk membela nasib satu nyawa yang di bawa pergi.

Jika sebelum ini suara Beng Hock Kugan dan Norizan tenggelam tetapi kali ini suara Aminulrasyid didengari rakyat Malaya. Apa sahaja keputusannya perlu diserahkan kepada keluarga dan pihak berkuasa untuk menyiasat. Rakyat Malaya perlu terus membuka buku dan bertukar pandangan agar tidak mundur.

Salute kepada Aminulrasyid.