Monday, April 25, 2011

Hitam

Tahun demi tahun telah berlalu
Sejak dari hari itu aku mula kenal erti kematian
Tahun demi tahun berlalu
Aku pasti itu lah maksud kesedihan
Tahun demi tahun berlalu
Tidak pernah putus dari ingatan

Kematian menjemput saat kita masih gembira
Kematian datang saat kita tersenyum
Kematian menegur saat kita belum puas mengira bintang
Kematian menepuk bahu saat kita baru mula belajar berkasih sayang

Sambil ditemani malam dingin aku terbayang wajah wajah mereka
Satu persatu, raut muka , dan hilai tawa
Setiap satu daripada mereka yang punya kisah suka dan duka
Pelukan manja dan ciuman manis pengubat luka

Kebanyakkan mereka tidak sempat aku memberi cerita
Cerita cerita dunia dari kisah kisah merata
Tidak tidak satu pon yang tahu
Bak kata pujangga kadang kala kematian itu lebih penting dari hidup yang sementara.

Thursday, April 21, 2011

Belasungkawa

Ini hari, Khamis 21 April aku menerima satu panggilan telefon. Sebelum aku menjawab panggilan itu tiada sebarang rasa yang terlintas. Lantas aku jawab panggilan tersebut yang datang nya dari kakak aku sendiri. Seperti saja dia tahu yang aku akan bersedih jika mendengar berita yang tidak berapa enak, dia bersahaja menegur, "lama tak dengar cerita, busy sangat ke" dan beberapa patah perkataan yang aku sendiri tidak ingat. Selepas itu aku pon menjawab yang aku ada menghantar FB message dan disebabkan line telefon tidak begitu bagus dia mencelah dan mengatakan apa tujuan sebenar panggilan itu dibuat (sekali lagi dengan nada bersahaja seperti ianya perkara biasa).

Pada mula nya aku tidak langsung tersentak atau terperanjat kerana gaya dan tone suara yang disampaikan langsung tidak menunjukkan apa apa tanda kesedihan. Aku bagaikan dikejutkan dari tidor apabila aku bertanya sekali dan barulah aku betul betul terjaga. Aku cuma membisu seribu bahasa. Tak terucap walau sepatah. Yang aku dengar dari hujung telefon hanya kata kata memberi semangat supaya berdoa.

Siapakah dia yang telah pergi meninggalkan aku. Dia yang pergi adalah aku anggap seperti emak aku sendiri. Malah aku sendiri memanggilnya mak kerana sedari aku berusia 2 tahun dialah yang menjaga makan minum lapar dan dahaga aku. Kulitnya hitam manis dan mempunyai tabiat melatah. Dia juga adalah ibu tunggal setelah kematian suaminya yang aku sendiri tidak pernah berjumpa. Anak-anak nya seramai 6 orang dibesarkan dengan penat lelahnya sendiri mengambil upah kerja kerja sambilan. Hidupnya tidak semewah mana, rumah usang nya kini telah lama roboh dan hidupnya berpindah randah.

Bila raya menjelma dia akan sibuk menerima tempahan membuat dodol. Demi tuhan, tidak pernah aku merasa dodol sesedap dodol nya. Dengan duit itu jugalah segala persiapan hari raya untuk keluarganya dibeli. Jika tidak salah aku sewaktu aku berusia 5 tahun, aku sudah dihantar ke tadika kerana pada waktu itu dia dimasukkan ke hospital akibat penyakit kencing manis. Oleh kerana kedua orang tua aku sibuk bekerja aku terus tinggal di tadika itu pada siang hari. Namun kadang kala aku masih ke rumahnya dan masih lagi memanggil dia 'mak' dan cukup gemar baginya meminta aku mencium pipinya. Aku pula suka mendengar latahannya apabila di usik.

2009, Aku bertemu dengan nya dimajlis perkahwinan salah seorang sepupu aku. Dia harus dipapah ketika berjalan. Keadaannya tidak segagah dahulu yang selalu menunggang basikal kesana kemari. Wajahnya sudah teruk berkedut badannya lemah dan tidak lagi kuat untuk mengacau dodol. Semuanya telah tidak dikerjakan. Hidupnya hanya duduk dirumah ditemani ubat ubatan dari hospital. Namun suaranya memanggil aku dan meminta ciuman masih tidak berubah. Sama seperti waktu waktu dahulu ketika dia seorang perempuan yang gagah mencari nafkah untuk anak anaknya.

2010 Sekian lama aku tidak berjumpa dengannya. Aku mendengar khabar berita tentang dirinya dari makcik aku sendiri. Aku sedar keadaan tidak begitu baik. Terlantar dirumah akibat terlalu lemah untuk bangun. Mungkin kesan ubat ubatan sudah mula memakan dirinya. Pada tahun itu juga aku mula sibuk dengan kerja.Aidil fitri yang lalu, ibu kandung aku berpesan agar aku pergi melawatnya namun ia tidak berlaku.

2011 Petang tadi ibu ku menelefon, dia mengaku dia ada melawat dan sudah tahu akan keadaan orang tua itu yang makin bertambah buruk sejak 3 minggu yang lalu namun dia tidak mahu memberitahu kerana tidak mahu aku berasa tidak senang hati. Cuma satu perkara yang aku kesalkan. Kesalan ini akan aku bawa bersama ke liang lahad aku nanti. Aku tiada disisinya untuk aku cium pipi nya buat kali akhir ketika dia sudah tidak lagi boleh meminta dan tidak langsung berupaya mengusung jenazah ke tanah kubur sebagai tanda kasih seorang anak. Aku yang masih mampu berjalan tidak langsung ada daya untuk berada disebelah tanah kuburnya. Tiada apa yang boleh aku lakukan dan belom terbalas jasa jasanya menjadikan aku seorang manusia. Namun aku bersyukur kerana dia tidak lagi perlu menganggung derita. Biarlah dia terus aman selama lamanya.

Halimah Abdul Aziz (1938 - 2011) mak...