Tuesday, June 29, 2010

Surat kepada siapa

Akhirnya kisah itu berakhir, sebuah cinta lama yang berbunga mekar gugur layu ke bumi sementara.
Lalu dia menulis surat kepada semangatnya sendiri. Ingin diberi pada cintanya tapi tidak berdaya.
Isi suratnya berkata-kata sedih mengaku bahawa dia tidak pernah impikan semua ini berlaku. Tidak mahu temboh kukuh yang penuh rasa rindu kecewa hampa itu runtuh. Dia mengaku satu persatu, setiap kenangan menjadi igaun, setiap gelak tawa mengukir senyuman rindu, setiap sentuhan berahi menjadi ingatan debu ketika hati masih berpadu. Di dalam helaian kertas itu diselit juga mimpi mimpi indah dahulu. Kata-kata dan janji mesra. Semua itu menjadi hiba. Dia yang sebelum ini gembira kini tidak lagi mampu mengenang. Hantu kenangan iblis rasa menghantui gelodak jiwa. Surat itu tidak berani diberi. Mahu saja dibuang surat itu ke lautan dalam, mahu saja wajah itu dibakar lahar, mahu saja nama itu dibuang merata. Tetapi surat itu masih bersama meskipun mimpi-mimpi indah telah dibuang seolah olah ianya bernyawa. Surat itu tidak lut dijilat api, surat itu tidak rosak dimamah angin. Dia hanya mahu cintanya tahu isi hati nya , tapi tidak sanggup dia berikan surat itu..lalu surat itu ditanam di kalbu lalu surat itu menjadi hati si dia, hati si penulis. Surat itu akan mati jika si dia tidak lagi bernafas..suatu hari kelak surat indah itu akan sampai jua kepada cintanya. Cinta agung yang tidak diketahui siapa pemiliknya.

Cerita yang paling aku minati

LALU AKU KE SANA SEKALI LAGI

Aku ke sana sekali lagi satelah 35 tahun. Kau belum lahir lagi ketika aku melintasi lorong di hadapan rimbunan buluh itu. Kau masih lagi disimpan di laut Kalzum – ibu kau belum bertemu dengan ayah kau lagi. Ketika itulah aku telah memulakan langkah berkelana mencari diri.

Tidak mungkin aku akan melupakan rimbunan buluh itu. Bagitu tegoh ianya berdiri bersama tebing. Inilah dia setia aur kepada tebing. Inilah dia setianya pejalanan orang kiri – teguh dan tidak pernah runtuh-runtuh mengabadi kepada yang tertindas.

Kesahnya bagini : Tahun 1974 – aku di cari polis. Maka aku wajib mengundur diri. Kemana? Tidak aku tahu satu tujuan khusus. Yang penting aku wajib meluluskan diri melintasi sempadan. Lari untuk menyelamatkan diri.

Ceritanya panjang. Lalu aku pendekkan disini. Kerana bukan itu yang hendak aku ceritakan disini. Hari ini aku hanya ingin bersurah tentang buluh itu. Buluh yang menjadi saksi di satu senja 35 tahun dahulu.

Petang Sabtu lalu aku di Kota Bahru – lalu aku ngelincir lari meninggalkan kota menuju arah ke utara. Tiga puluh lima tahun dahulu aku telah melintasi jalan ini. Tiga puluh lima tahun dahalu jalan ini tidak sesibuk petang Sabtu yang lalu.

Tiga puluh lima tahun dahulu aku memilih lewat petang untuk melalui jalan ini. Ini pun setelah si Lelaki kawan aku pergi melintasi terlebih dahulu dan mengira ada berapa garisan polis dan soldadu yang menghalang jalan. Tiga puluh lima tahun dahulu Tanah Merah adalah pentas gerila. Weng adalah laman operasi antara gerakan gerila PKM. Soldadu dan polis yang seragam dan tidak seragam berdiri merata-rata.

Untuk ke sempadan aku menyewa sebuah teksi dan diapit oleh dua Cik Mek Molek yang tidak pernah aku kenali namanya. Cik Mek Molek yang tidak pernah aku tahu namanya menjadi pendinding untuk aku mengkaburi mata polis dan soldadu. Kami mahu dilihat sebagai pasangan yang bercanda dan bercengkerama di luar sempadan.

Di manakah Cik Mek Molek ini sekarang? Apakah telah berumah tangga? Apakah telah beranak dan bersuami. Tidak - aku tidak akan melupakan Cik Mek Molek ini. Setiap kali aku di Kota Bahru mata aku liar mencari-cari apakah akan muncul Cik Mek Molek ini sekali lagi kerana aku ingin menyampaikan kata kata terima kaseh yang tidak sempat aku luahkan pada senja itu.

Dari kota ke kota aku berjalan - setiap kali aku melihat gadis-gadis dan perempuan yang berdiri di gigi pintu rumah merah setiap kali aku teringatkan Cik Mek Molek dari Kota Bahru. Sekarang kau tahu kenapa aku tidak ada memiliki apa-apa nilai moral untuk merendahkan murtabat mereka. Kau yang mengetuk dada mengakui memiliki moral yang tinggi mungkin melihat mereka rendah kerana mendagangkan diri. Tapi untuk aku semua mereka adalah kaum revolusiner yang pernah menyelamatkan aku menlintasi sempadan.

Kereta yang kami sewa melintasi dua hadangan polis. Kawan aku si Lelaki yang menjadi perintis jalan berlagak mesra dengan sang polis. Sang polis menjengok ke dalam kereta. Mereka melihat aku diapit oleh dua Cik Mek Molek - maka kereta kami tidak di ganggu.

Di hadangan ke dua kerana telah lewat petang sang polis hanya mengarahkan kami bergerak cepat sebelum sempadan ditutup. Sempadan Golok/Rantau Panjang tutup jam enam. Ini jam enam dizaman itu - dimana matahari telah agak lama ditelan bukit.

Ketika kami sampai sempadan telah ditutup. Rantau Panjang ketika itu kelihatan daif. Dalam ingatan aku pekan ini hanya ada dua deretan kedai papan dan beberapa buah kedai batu. Ini adalah pertama kalinya aku sampai ke Rantau Panjang. Tetapi pekan ini telah banyak aku dengar surahnya terutama dari kawan di sebelah katil aku ketika aku di Kolej Melayu. Rantau Panjang dan Golok adalah pekan penyuludupan dimana beras , gula dan sex jadi dagangan.

Turun dari teksi aku tercegat berdiri dan tidak mundar mandir. Ini menghairankan Cik Mek Molek. Lalu kawan aku si Lelaki mengajak Cik Mek Molek pergi meleser dan mundar mandir melihat-lihat barangan di dalam kedai. Aku terpacak di tepi sebuah kedai tidak berani memunculkan diri. Kemudian kawan aku si Lelaki sekali lagi pergi merentas untuk melihat apakah jalan belakang tepi sungai itu selamat untuk aku lalui.

Mukhabarat polis dan tentera pasti berkeliaran. Tapi aku telah kacak berjangak diri dan bergaya. Kumis dan janggut aku telah lama hilang. Aku anak muda yang datang ke pekan sempadan ini untuk berdansa dan becanda.

Senja hampir sampai. Gelap telah datang. Kawan aku si Lelaki datang dan mengatakan masih ada SB menunggu di tepi tebing. Dada aku berdebar-debar. Jika kau melalui apa yang aku lalui maka kau akan bersimpati dengn aku. Di hadapan aku dunia kebebasan. Di belakang aku adalah penjara musuh. Yang wajib aku lintasi hanya sebuah sungai.

Cik Mek datang kembali meminta aku berjalan bersaing sama. Lalu kami berjanji dengan Cik Mek Molek untuk makan bersama. Mereka hanya perlu bersabar dan si Lelaki kawan aku meminta mereka menunggu kami di warong makan. Kawan aku pergi sekali lagi untuk melihat jalan.

Nah ! Kali ini dia hanya menunjukkan ibu jarinya. Aku menoleh ke belakang. Melihat sekali lagi untuk merakamkan ingatan kali terakir aku akan bumi kelahiran yang akan aku tiggalkan.

Kami menapak menuju ke tebing Sungai Golok. Aku berdiri menunggu di tepi rimbun buluh. Sebuah rakit buluh sampai dari seberang. Senja telah sampai. Aku teringat lagi – aku memakai baju kuning lengan pendek dan berLevis hitam. Sepatu yang dimiliki oleh seorang kawan dari Universiti Malaya. Aku tidak memakai stokin pada petang itu. Ditangan - sebuah plastik beg yang didalamnya satu persalinan lagi. Ini sajalah harta aku ketika aku melintasi sempadan.

Nah petang Sabtu yang lalu – ketika Kongress PKR berjalan di Kota Bahru – aku datang ke Rantau Panjang untuk melihat kembali jejak jejak lama aku. Bayangkan betapa gembiranya aku apabila aku melihat pokok buluh itu masih tegak berdiri. Sungai Golok masih mengalir lesu. Lorong yang aku ambil tiga puluh lima tahun dahulu kini ada tangga batu. Rakit buluh telah diganti dengan rakit perahu kayu.

Pada petang Sabtu lalu – aku duduk ditepi tebing sabentar untuk melihat air sungai yang keroh dan kuning. Perahu-perahu kayu berlabuh di dalam sungai. Lorong belakang ini masih tidak berubah. Ianya masih jadi laluan gelap untuk sesiapa sahaja.

Tiga puluh lima tahun dahulu dari tebing inilah aku menyeberang untuk mencari kebebasan. Rimbunan buluh inilah yang menjadi saksi. Aku hanya membayar dua puluh sen kepada anak muda tuan empuya rakit buluh yang membawa aku ke dunia bebas.

Petang Sabtu lalu , ketika aku duduk ditebing Sungai Golok - aku perhatikan pohon pohon buluh itu - lalu ingatan ingatan lau datang kembali kepada dua Cik Mek Molek yang aku bermungkir janji. Pasti mereka menunggu aku di warung makan itu. Pasti mereka menganggap aku jantan pendusta kerana tidak sampai-sampai. Betapa bersalahnya aku di senja itu. Tetapi jika mereka tahu apa yang mereka telah lakukan maka aku yakin mereka adalah revolusiner di barisan hadapan.

Satelah kau mendengar surah ini dan jika kau ada bertemu dengan si Cik Mek Molek yang aku ceritakan ini maka kau sampaikan terima kaseh aku. Dan katakan juga aku meminta maaf kerana pada petang itu aku telah mungkir janji. Kau katakan juga pada petang Sabtu yang lalu aku telah datang kembali sebagai tanda setiakawan aku walau pun aku terlewat tiga puluh lima tahun.(TT)

( dari nota- nota ingatan Tukar-Tiub )

Monday, June 21, 2010

Tamat

Sedikit demi sedikit batu bata penjara pudu runtuh..lama kelamaan batu itu semua nya runtuh dan hanya debu yang tinggal. Tembok konrit sepanjang dinding juga tumbang. Tapi dulu tembok itulah menjadi pemisah.
Aku sempat ke sana semalam. Memegang sambil memuja tembok batu itu. Dipuja agar bangkit roh yang lama mati agar tempat itu kembali berseri. Tapi syang ia tidak menjadi. Yang jelas tahun ia siap dibina 1895 masih ada. Lukisan mural sedikit sopak dimakan cuaca.
Beberapa tahun lagi bila siap bangunan baru lihatlah kegagalan manusia menilai erti pengorbanan dan nilai kemanusian. Bangunan baru itu tidak mungkin dapat mewarnai kisah pelangi di situ satu masa dahulu.
Jerit tawa titis air mata sang penghuni dulu akan berteriak lebih garang kerana meratapi kehilangan sejarah lama. Apakan daya.
Manusia muda akan terus lupa kisah hidup masyarakat sebenar dan ditipu hilai tawa dunia rakus. Semua terkambus. Kesedaran sesama manusia hancus.
Malam itu aku memegang tembok karat habok kotor bangunan itu untuk merasai pahit manis rupa wajah manusia penghuni di istana neraka suatu masa dahulu. Aku palitkan tangan ke dinding agar dapat merasai sisa buangan sejarah manusia agar beringat sampai bila bila.
Semoga rasa pahit manis tawa tangis itu kekal abadi.
Tamat.

Saturday, June 5, 2010

Yunus Ali dan Rachel Corrie

Buat beberapa minggu ini heboh satu Malaya akan cerita tentang kapal laut membawa bantuan makanan dan ubat ubatan ke Palestine yang di gasak tentera zalim zionis Israel. Nama kapal itu Rachel Corrie. Ia sempena nama minah Amarika yang terbunuh di Gaza pada tahun 2003. Pada tahun 2003 itu, aku sendiri masih belom secara jelas memahami isu sebenar Palestine. Cuma sekadar tahu sikit-sikit saja tetapi Rachel dari Olympia ini sudah terlibat didalam menegakkan keadilan di sana.

Rachel Aliene Corrie terbunuh pada 16 March 2003. Wanita ini menemui ajal dengan cara yang kejam. Dia dilenyek bulldozer tentera Israel sewaktu melutut mehalang kenderaan ini menghancurkan rumah milik rakyat Palestina. Corrie, salah saorang ahli International Solidarity Movement telah mengambil cuti selama setahun bagi merantau ke Gaza semasa Kebangkitan kali kedua (second Intifada).

Jika dibayangkan, keberanian wanita ini tiada tolok bandingnya. Secara jujur aku sendiri tidak berani untuk melakukan apa yang Rachel telah lakukan. Menjadi tembok manusia dan dilenyek bulldozer yang bertan beratnya. Besar sungguh hati wanita ini. Keberanian Rachel tidak dapat digambarkan. Lalu namanya dipahat di Kapal Laut, di sebatang jalan di Ramallah (Rachel Corrie St) dan di London, satu teater My Name is Rachel Corrie turut di pentaskan.

Yunus Ali, saorang aktivis mahasiswa Universiti Malaya, bekas tahanan ISA dan bekas perajurit komando dari badan Fatah (PLO) telah lama berada di Lebanon sewaktu zaman mudanya. Bersama-sama rakyat Palestin lain, Yunus mengangkat senjata melawan zionis Israel dan tentera Falangis di Beirut. Kini umur hampir 60an, beliau sedang uzur berehat dirumah. Cuma kisah dan pengalaman nya yang dapat aku dengar.

Awal jumaat lalu, aku tidak ke jalan raya untuk berdemo menentang tindakan kejam Israel yang menyerang kapal kemanusiaan. Sebaliknya aku melawat Yunus yang sedang uzur bersama Rahmat. Bagi aku melawat Yunus adalah sama seperti turun kejalan raya berdemo kerana beliau juga adalah sebahagian dari sejarah dan kisah rakyat Palestina.

Kisah Rachel Corrie dan Yunus Ali adalah kisah keberanian dua hati yang sanggup mati untuk menegakkan kebenaran. Dua hati ini tidak mungkin dimiliki oleh jutaan hati manusia yang lain kerana untuk mati dilenyek bulldozer dan mati dibom memerlukan lebih dari sebuah hati. Hanya Rachel dan Yunus sahaja yang tahu....

Paletin hanya untuk rakyat Palestin.