Sunday, October 17, 2010
Yunus Ali
Yunus Lebai Ali (1951-2010) dalam kenangan sejarah gerakan mahasiswa, Palestin&Demokrasi
(gambar dari buku Bersama Anwar Ke Penjara, tulisan Kamarazaman Yacob)
Hari ini, Sabtu 16 Oktober, besok Ahad 17 Oktober, 97 tahun yang lalu berlangsungnya revolusi Bolsheviks di Rusia. Hari ini telah 22 hari dia pergi meninggalkan kita semua. Dan aku masih belum lagi dapat melupakan Yunus Ali. Ada sekeping gambar di bawah yang merupakan salinan daripada fotokopi akhbar PLO Filastin al-Thawra (simpanan Arwah) yang menyaksikan Allahyarham sedang berdemonstrasi anti zionis Israel, sewaktu zaman aktivis mahasiswanya. Diperturunkan sekali lagi belasungkawa tulisan Hasan Karim. Turut disertakan gambar-gambar gerakan mahasiswa dan solidariti Palestin, tahun 70an daripada buku Bersama Anwar Ke Penjara (1993), tulisan Kamarazaman Yacob, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, tahun 1974. Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang menulis kata pengantar buku tersebut.
Pada penghujung usianya pula, Yunus Ali melalui kegiatan NGO Empower dan UNICEF Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (klik sini) sempat menyumbang tenaga kepada masyarakat Kuala Muda dan Langkawi, setelah peristiwa tsunami, bagi program pembangunan ekonomi wanita dan remaja di sana. Yunus Ali pada usia emasnya itu juga menjadi pengerusi NIEI, aktif bersama badan pemantau pilihanraya Malaysia itu. Dia juga turut diundang menyertai dan memimpin berbagai misi pemantauan pilihanraya antarabangsa bersama-sama dengan ANFREL, antaranya di Afghanistan, Sri Lanka, Nepal dan Thailand. Al Fatihah buatmu Yunus. Tafakurku pada segala budi dan jasamu tak terbalas itu. semangat perjuanganmu akan tetap selalu hidup sepanjang zaman. Tabik!
"Rakaman yang bermakna untuk sejarah ialah perjuangan berani para pelajar zaman tersebut, iaitu tahun-tahun 70-an. Kebangkitan mahasiswa tanahair zaman tersebut cukup menarik. Sebagai pemimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Kamarazaman Yacob, Abu Zer, Hishamuddin Rais, Yunus Ali adalah anak-anak yang benar-benar melibatkan diri dan kehidupannya dengan cita-cita kemasyarakatan."
Usman Awang
Petaling Jaya, Oktober, 1993.
KEMBALINYA YUNUS ALI : BEKAS TAHANAN ISA OPERASI LALANG 1987
oleh Hasan Karim
Semalam 25 hb September 2010 kira-kira jam 4.20 petang seorang sahabat karibku telah meninggal dunia. Dia telah meninggalkan alam fana ini buat selama-lamanya. Namanya ialah Yunus bin Lebai Ali, dan lebih dikenali dengan panggilan Yunus Ali. Mungkin tak ramai orang kenal Yunus Ali kerana low profile yang dibawa oleh tubuh peribadinya. Ramai orang tentu kenal Hishamudin Rais. Yunus Ali adalah rakan karib dan generasi seangkatan Hishamudin Rais dalam kebangkitan pelajar pada era awal tahun 70-an dulu. Nama-nama lain dalam generasi tersebut ialah Ahmad Zahid Hamidi, Ibrahim Ali, Anuar Musa setakat menyebut beberapa nama pemimpin pelajar ketika itu.
DI TAHAN DALAM ISU TASEK UTARA
Tetapi Yunus Ali bukan sekadar bekas pemimpin pelajar. Dia lebih dari itu. Sebagai seorang sahabat karibnya aku berasa bertanggungjawab memperkisahkan secarik lembaran kehidupannya untuk tatapan umum khususnya generasi muda kini. Yunus anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak adalah satu dari sekian ramai anak-anak muda generasi kami yang telah mencuba untuk membawa perubahan ke arah yang lebih sejahtera dan baik bagi rakyat dan tanahair kita ini. Seperti yang lain-lain, Yunus juga telah mengorbankan dirinya untuk membawa perubahan itu sehingga dua kali beliau dipenjara. Semasa menjadi pemimpin mahasiswa di Universiti Malaya, Yunus dipenjara di Penjara Ayer Molek Johor Bahru bersama-sama Hishamuddin Rais dan Syed Hamid Ali kerana terlibat menyokong perjuangan setinggan-setinggan miskin di Tasek Utara, Johor Bahru pada bulan September 1974. Pada tahun 1988, tidak lama selepas pulang dari London, Yunus sekali lagi ditahan. Kali ini dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)di bawah Operasi Lalang. Dia ditahan di Pusat Tahanan Politik di Kamunting, Taiping, Perak. Aku tidak pasti berapa lama Yunus ditahan di sana.
DEMONSTARSI PELAJAR-PELAJAR DI KUALA LUMPUR
Pada 3 Disember 1974 berlaku demonstrasi pelajar secara besar-besaran di Kuala Lumpur. Ketika itu Yunus adalah salah seorang pemimpin penting dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Demonstrasi pelajar-pelajar itu bagi menyokong perjuangan rakyat miskin di Baling, Kedah. Beberapa orang pensyarah, pemimpin pelajar serta belia telah ditahan di bawah ISA lanjutan dari demonstrasi tersebut. Antara yang ditahan ialah Prof Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim. Kemudian Polis Diraja Malaysia telah menggempur kampus Universiti Malaya di bawah satu operasi yang dikenali sebagai Operasi Mayang. Beberapa orang pemimpin pelajar seperti Kamarazaman Yaacob (Presiden PMUM) dan Adi Satria Ahmad (Timbalan Setiausaha Agung PMUM) telah ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Penjara Kamunting untuk menyertai Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim. Ibrahim Ali Presiden Perkasa kini, turut sama ditahan waktu itu. Beliau adalah Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) ketika itu.
USMAN AWANG TOLONG SELAMATKAN YUNUS
Hishamudin Rais dan Yunus Ali terletak dalam senarai teratas nama-nama pemimpin pelajar yang jadi buruan polis. Kedua-duanya terlepas dari tangkapan polis apabila polis-polis hutan atau Field Force (kini dipanggil PGA) menyerbu kampus Universiti Malaya.
Yunus dan Hishamudin dapat meloloskan diri masing-masing. Tahukah di manakah dua pemimpin pelajar ini berlindung dari tangkapan polis untuk beberapa bulan? Di sinilah hebatnya Sastrawan Negara Usman Awang. Di rumah Usman Awang yang kami panggil dengan mesra sebagai Abang Tongkat tempat Yunus dan Hishamudin Rais berlindung. Usman Awang tidak sahaja bercakap dan berpuisi soal keadilan, hak asasi dan kemanusiaan. Tetapi beliau buktikan dengan perbuatan. Ketika keselamatan diri dua orang pemimpin pelajar yang pro-rakyat ini diancam oleh ISA, Usman tampil secara senyap-senyap memberi perlindungan kepada kedua-dua mereka. Beliau mempertaruhkan nasibnya sendiri demi membela dua orang pemimpin pelajar ini yang menjunjung perjuangan untuk keadilan rakyat.
DI PERSIMPANGAN JALAN
Pada ketika itu aktivis-aktivis pelajar kiri yang belum ditahan dibawah ISA seperti Yunus dan Hishamudian, mereka ada tiga pilihan. Pertama bergerak seperti biasa, meneruskan pengajian di universiti dan bersedia untuk ditahan di bawah ISA, soalnya sama ada cepat atau lambat. Kedua, masuk ke hutan mengangkat senjata dengan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). Ketiga, melarikan diri ke luar negeri sebagai pelarian politik. Yunus mengambil pilihan yang ketiga ini. Selepas isu demonstrasi pelajar-pelajar pada Disember 1974 reda, keadaan di kampus beransur tenang. Yunus kemudian menyambung semula pengajiannya di Fakulti Pertanian Universiti Malaya.
KONVENSI HAK ASASI MANUSIA
Pada tahun 1975 Usman Awang dan beberapa orang tokoh lain dari kalangan intelektual telah menganjurkan satu persidangan yang dipanggil Konvensi Hak Asasi Manusia yang bertujuan untuk mendapatkan pembebasan tahanan-tahanan politik ketika itu, antaranya Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim di penjara Kamunting, Perak serta Syed Zahari, bekas ketua Pengarang Utusan Melayu yang telah ditahan selama lebih 12 tahun ketika itu di Penjara Changi, Singapura.Yunuslah orang muda yang banyak menolong Usman Awang dalam menjayakan Konvensi tersebut. Ketika itu kami tidak ada badan-badan NGO hak asasi seperti SUARAM atau HAKAM, seperti sekarang ini.
MELARIKAN DIRI KE HONG KONG
Pada suatu petang Yunus menemuiku di tempat kediaman aku menumpang dan memberitahuku bahawa dia hendak meminjam baju kot. “Hendak buat apa ?” tanyaku. Aku juga aktivis pelajar yang miskin melarat, macam Yunus. Jadi mana aku ada baju kot. “Aku hendak ke Hong Kong,” kata Yunus. “Buat apa ke sana?” Ada persidangan Persatuan Pelajar-Pelajar Asia (ASA) di Hong Kong, jawab Yunus.Aku berasa sedih tidak dapat meminjamkan baju kot kerana akupun tak ada benda itu. Itulah pertemuan terakhir aku dengan Yunus ketika itu. Pelajar-pelajar lain pulang ke tanahair selepas persidangan di Hong Kong berakhir tetapi Yunus tidak. Mulai saat itu Yunus memulakan kembara panjangnya di beberapa benua sebagai pelarian politik. Ini berlaku sekitar tahun 1976 di mana pada ketika itu terdapat gelombang kedua tangkapan di bawah ISA. Tangkapan ISA pada tahun 1976 ini menyaksikan nama-nama besar seperti A Samad Ismail, Kassim Ahmad, Datuk Abdullah Ahmad dan Datuk Abdullah Majid dipenjarakan di Penjara Kamunting. Perdana Menteri Tun Abd Razak baru sahaja meninggal dunia dan perebutan kuasa berlaku di dalam Umno. Dalam suasana sedemikianlah Yunus yang tidak lagi rasa selamat akan kebebasan dirinya mengambil keputusan meninggalkan tanahair.
MENYERTAI PERJUANGAN RAKYAT PALESTIN
Aku kemudiannya dihubungi. Sebagai teman dan sahabat karib akulah tempat Yunus berhubung dan menjadi jambatan hubungannya dengan sanak saudaranya. Selepas di Hong Kong aku tidak pasti ke mana Yunus berkelana. Aku hanya diberitahu bahawa dia kemudian berada di Karachi, Pakistan menumpang di rumah Duta PLO (Plaestin) di Paksitan ketika itu, iaitu Abu Yaakub namanya. Ini tidak pelik, Abu Yaakub pernah bertahun-tahun jadi Duta PLO di Kuala Lumpur dan kami pemimpin-pemimpin pelajar khususnya dari Universiti Malaya amat rapat dengannya. Abu Yaakub sama seperti Usman Awang, orang yang baik hati.
Dia sanggup membenarkan Yunus menumpang di rumahnya sehinggalah kediaman Duta PLO itu diserang oleh musuh-musuh PLO. Aku tidak tahu apa yang berlaku terhadap Yunus selepas itu. Tetapi Yunus seorang yang cekap untuk terus hidup, selagi belum sampai ajal. Aleh-aleh aku dengar Yunus sudah berada di Beirut, Lubnan menyertai paskukan bersenjata dalam komando PLO. Yunus yang bersuara perlahan, sederhana tingginya telah mendapat latihan ketenteraan dari pejuang-pejuang PLO. Aku mula kenal Yunus semasa kami di Fakulti Pertanian Universiti Malaya. Dia pandai ilmu bersilat. Ketika kami sama-sama menjalani latihan praktikal pertanian di sebuah ladang di pinggir hutan di Pucong, Selangor pada tahun 1972, aku sempat belajar silat dengan Yunus dan Yunus pula belajar politik dari buku-buku politik kiri yang aku bawa ke bangsal tempat kami menginap di pinggi hutan Puchong itu.
DARI LUBNAN KE UNITED KINGDOM
Dari Timur Tengah yang bergolak itu, Yunus itu kemudiannya berhijrah ke Eropah dan bermastautin di London. Ketika itu sekitar tahun 1981. Dulu, Yunus tidak tamat pengajiannya sebagai siswa pertanian di Universiti Malaya. Kini, di United Kingdom Yunus menyambung pengajian di salah sebuah universiti di London dalam bidang Sosiologi. Pada tahun 1982 Yunus menjemput aku datang ke London. Ketika itu keadaan Yunus agak selesa dan dia bergerak di dalam Fuemso, iaitu persatuan pelajar-pelajar Malaysia di tanah Inggeris itu. Aku pun pergi ke London beberapa hari sebelum Hariraya AidilAdha tahun 1982. Aku berhariraya Korban di London. Sekitar dua minggu aku di sana dan Yunus dengan rendah hati bertindak menjadi tourist guide kepadaku. Seperti pelancong-pelancong lain juga, tanpa aku minta Yunus telah membawa aku melawat lokasi-lokasi biasa pelancongan seperti Trafalgar Square untuk melihat burung-burung merpati, Istana Buckingham, London Tower dan banyak lagi. Pada suatu hari Yunus mengajak aku pergi melawat ke pusara Karl Marx di suatu kawasan tanah perkuburaan di London yang namanya mungkin Hillgates. Aku kurang pasti nama itu. Yunus merakamkan dengan kameranya –gambar aku berdiri di sebelah pusara Karl Marx. Gambar itu hilang dalam sibuk-sibuk aku menyelamatkan diri semasa Operasi Lalang 1988.
PULANG KE TANAHAIR
Lebih kurang pada tahun 1986 Yunus pulang ke tanahair selepas pengajiannya selesai dan keadaan politik di Malaysia tidak begitu bergolak. Aku menyambut Yunus di Lapangan Terbang Subang. Untuk beberapa bulan, Yunus tinggal menumpang di Markas Pusat Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) di Kelana Jaya, Selangor. Ketika itu aku menjadi Setiausaha Agung PSRM (kemudian nama PSRM ditukar kepada nama asalnya Parti Rakyat Malaysia (PRM), pada tahun 1990). Pada suatu pagi beberapa hari selepas kepulangannya dari London,aku menghanatar Yunus ke Universiti Malaya. Dia berjaya mendaftarkan diri di universiti itu untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di bidang sosiologi.
OPERASI LALANG:YUNUS DITAHAN
Tetapi dua tahun kemudian tiba-tiba keadaan politik negara bergolak. Ketegangan politik yang melibatkan isu-isu sensitive perkauman muncul, melibatkan UMNO dan MCA sendiri- dua komponen parti perkauman di dalam gabungan Barisan Nasional. Gajah sama gajah berperang, ada pelandok yang mati di tengah-tengah. Ketua Pemuda UMNO waktu itu yang kini Perdana Menteri dan Presiden Umno dengan slogan 1 Malaysia berperang isu perkauman dengan Lee Kim Sai, Ketua Pemuda MCA. Tetapi yang jadi mangsa keadaan dan ditahan dibawah ISA ialah berpuluh-puluh pemimpin politik pembangkang dan aktivis-aktivis NGO. Antara yang ramai ditahan itu termasuk Yunus Ali. Yunus sempat menyelesaikan ijazah sarjananya walaupun ditahan dibawah ISA. Selepas bebas, Yunus menumpu kepada kerjanya sebagai pensyarah. Kemudian dia berkahwin dan membina keluarganya. Sesekali aku ternampak gambarnya di akhbar atau tv dalam isu-isu yang dia terlibat. Ertinya dia tidak mendiamkan diri. Yunus masih bergerak.
YUNUS SAKIT
Hanya pada bulan Julai 2010 yang lalu Hishamudin Rais memberitahuku Yunus sakit dan terlantar di Hospital Selayang, Selangor. Aku sempat menziarahinya. Aku tidak sangka itulah pertemuan kami yang terakhir. Kami bercakap soal kesihatan, soal anak-anak. Kami tidak cakap soal politik petang itu.Yunus begitu bertenaga untuk hidup dan bertekad melawan penyakitnya. Dia tidak mengeluh, tidak putus asa, tidak minta simpati. Semangat komando Palestin bersama PLO membina jatidiri Yunus yang tabah. Banyak kali dia bercakap bahawa dia redha dengan sakitnya. Perkataan redha yang dilafazkannya itu sarat dengan pengertian tauhid keimanan sebagai seorang Islam.
PULANG KE RAHMATULLAH
Kini Yunus telah kembali menemui Tuhannya, iaitu satu tempat yang sebaik-baik dituju Dia telah menjalani hidupnya dengan berani tanpa menyerah kalah kepada kezaliman dan kemungkaran. Bagaimanapun, dia akhirnya tewas juga apabila ajalnya sampai. Aku berdoa semalam agar Yunus dapat bertahan melawan sakitnya. Tetapi ajal dan maut di tangan Tuhan. Aku percaya Yunus telah bersedia untuk detik perpisahan itu. Sebagai sahabatnya aku mendoakan Yunus dirahmati Allah dan ditempatkan di syurga. Kepada isteri, anak-anak dan keluarga Yunus aku pohon doa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka dan berharap mereka tabah menempuh saat yang sedih ini atas pemergian orang yang mereka sayangi. Al-Fatihah, Amin. Yang benar,
HASSAN KARIM Saya boleh dihubungi di No. talian 012-7931148, e-mail:hakarim2001@yahoo.com Beralamat Hassan Karim & Co. Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor Tel:07-6881839 Fax:07-6882369
Tukar tiub:Inilah kehidupan. Ada permulaan dan ada titik akhirnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment