Aku tidak terkejut mengapa banyak pihak mula bersuara akhir-akhir ini. Begitu kerap sekali berita bayi terbuang menjadi cerita utama di surat-surat khabar. Semua mulai memberi pandangan dan tidak terkecuali pihak-pihak yang meluahkan rasa bimbang mereka. Sehinggakan hukuman mati turut dikatakan akan dikuat kuasakan kepada mereka yang didapati bersalah.
Pagi tadi sewaktu aku membelek surat khabar, terjumpa aku satu cerita pendek. Cerita pihak yang mempersalahkan sambutan tahun baru dan hari kekasih sebagai menyumbang kepada kelahiran bayi bayi itu.
Bagi aku, aku tidak faham mengapa pihak ini mempersoalkan sambutan ini. Betul sambutan ini berlaku pada tengah malam, rata-rata remaja dan muda mudi. Sambutan ini dirayakan oleh seluruh manusia. Jadi apa kena mengena sambutan ini dengan pembuangan bayi-bayi ini.
Selain itu, kemudahan mendapatkan video-video lucah yang boleh dimuat turun di internet turut di jadikan alas an kepada faktor pembuangan bayi.
Aku yang tidaklah begitu cerdik, merasakan bahawa menyalahkan sambutan tahun baru dan industri filem lucah sebagai pernyataan yang kurang bernas. Adakah dengan mengharamkan sambutan perayaan itu akan mengurangkan kejadian- kejadian ini? adakah dengan menyekat penggunaan internet juga akan mengurangkan hawa nafsu seseorang?
Sokongan hujah ini diselitkan dengan kejadian seks bebas antara muda mudi. Dikatakan pada tarikh 1 januari tiap tiap tahun akan menjadi musim seks bebas bagi remaja. Seperti malam itu malam bersenyawa antara satu sama lain. Tidak kurang juga dengan pengaruh cerita cerita lucah. Kononnya aksi aksi ini akan ditiru oleh mereka.
Adakah kita semua lupa kisah Adam dan Hawa. Bila mana mereka dicampak keluar dari syurga ke dunia ini. Permulaan semua ini adalah kerana Adam dan Hawa tewas kepada pujuk rayu nafsu. Hawa nafsu, perasaan, naluri adalah sifat semula jadi manusia. Adam dan Hawa tidak terlepas dari mempunyai perasaan ini.
Jika segala perayaan di negara ini diharamkan, masalah bayi dibuang tidak akan selesai. Menutup pintu-pintu gerbang ke laman lucah juga tidak akan berjaya menutup pintu nafsu manusia. Mengenakan hukuman mati sekali pon tidak akan mematikan syahwat manusia. Ini jelas kerana manusia yang lahir itu diciptakan dengan akal dan nafsu.
Sudah tiba masanya semua pihak membuka mata dan minda. Mempersalahkan sambutan perayaan, industri filem lucah dan hukuman mandatori tidak akan menyelesaikan masalah ini. Sudah tiba masanya sistem dua parti di negara ini berfikir langkah yang lebih realistik dan tidak mengikut emosi. Juga sudah tiba masanya, pengajaran seks di ajar di sekolah.
Cara mendidik adalah langkah yang terbaik. Langkah ini tidak akan berjaya di dalam jangka masa pendek. Ini langkah jangka panjang. Tiba masanya pelajar pelajar dididik soal menjaga diri dan cara pembawakan diri. Proses pembelajaran akan mematangkan pemikiran anak anak muda. Jika diajar, tidaklah mereka ini memandai-mandai membuat eksperimen. Sekurang-kurangnya mereka sudah diajar tentang kemungkinan kemungkinan yang bakal terjadi jika melakukan seks bebas. Dan juga perlu diajar bahawa jika sekiranya mereka terlanjur, tidak lah digugurkan kandungan itu atau dibuang apabila ia dilahirkan. Perlu dididik ajar mereka ini supaya bertanggungjawab keatas apa yang mereka lakukan.
Bagi aku, lebih baik bayi itu dibesarkan daripada ianya dibunuh atau dibuang. Membunuh itu jauh lebih jahat dari membela satu nyawa yang tidak berdosa. Membela satu nyawa yang suci adalah jauh lebih baik walaupon anak itu tidak dilahirkan dengan lafaz nikah.
Kesimpulannya, segala nafsu itu datang kerana kita semua adalah manusia. Sebagai manusia kita diberi akal dan nafsu dan jika akal itu diasah dengan ilmu dan kefahaman, pasti nafsu itu dapat dikawal. Cara terbaik adalah cara mendidik. Masih lagi jauh untuk mencapai matlamat atau menengok hasil nya tetapi, selagi tidak dimulakan, masyarakat tidak akan berubah dan tidak akan belajar untuk berubah.
Thursday, August 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment