Monday, September 27, 2010

Bukan manusia biasa

Aku akan cuba sedaya upaya untuk bercerita tentang arwah Yunus Ali dengan ringkas. Bagi aku kisahnya wajib dibaca oleh setiap orang kerana Yunus bukan manusia biasa. Tidak ramai yang dilahirkan untuk berjuang seperti mana cara Yunus berjuang. Kisahnya bermula dengan..

Teater bukan Teater “Bilik Sulit”

Aku menuju ke Bar Council bersama dua lagi teman untuk menonton teater ini. Waktu itu, Disember 2008. Disitulah pertama kali aku melihat secara dekat rupa Yunus. Dia hadir menyaksikan teater itu bersama Rahmat. Aku telah mendengar kisah perjuangan Yunus dari Tad. Pada mulanya aku menyangka pastinya Yunus ini berbadan besar, bengis dan serius. Tetapi aku terkejut melihat susuk tubuhnya yang rendah dan bersahaja. Didalam hati aku berkata, benarkah dia mengangkat senjata melawan Zionis di Lebanon? Tak ada pon rupa komando. Malam itu setelah tamat teater aku terus pulang, aku sudah tahu rupa bentuk Yunus.

Penanti, May 2009.

Aku diajak Black untuk menjadi pemerhati/pemantau pilihanraya kecil Dun Penanti. Dibawah organisasi tempatan National Institute for Electoral Integrity (NIEI) dimana Yunus adalah pengerusinya. Disitulah pertama kali aku bercakap dengan Yunus. Kami menuju ke Pulau Pinang. Aku memandu kereta wira biru nya dan sepanjang jalan kami berbual-bual kosong, ice-breaking session kata orang putih. Aku memanggil nya Pak Ya. Y untuk Yunus dan A untuk Ali jadinya Pak Ya. Dalam perjalanan sempat aku berkata macam mana Pak Ya boleh menjadi Lebanon? Dia ketawa kecil dan tidak menjawab. Tiba-tiba dia berkata, “kau nampak dua bukit itu (sambil menuding jari kearah bukit bukau sekitar jalan menuju ke utara) Dahulu sewaktu di lubnan aku kene berlatih duduk atas bukit dan tidak boleh dikesan. Itulah antara latihan aku. Berhari-hari diatas bukit belajar untuk menjadi invisible. Aku terkedu mendengarnya. Gila betul training gerila ni. Lalu dia menyambung, aku lebih banyak menembak orang arab dari Zionis. Banyak arab yang menjadi tali barut Zionis, Kata Yunus lagi, dia mengangkat senjata kerana percaya kepada perjuangan itu. Pembebasan secara total. Tambah Yunus, jika dia mati disana pasti nama pada kuburnya terpahat ‘As-Shahid Yunus Ali’ lalu ketawa kecil kami.

Yunus, seorang yang suka makan. Sekejap sekejap kami berhenti. Penuh perut aku sepanjang jalan dan Yunus tahu dimana kedai yang sedap. Aku pon pelik macam mana dia tahu setiap ceruk kampong itu. Di Penanti aku memandu hingga ke Balik Pulau untuk makan. Banyak tempat yang Yunus bawa aku. Semuanya enak-enak.

Afghanistan Julai 2009

Black sekali lagi menjemput aku menjadi pemerhati pilihanraya. Kali ini di Afghanistan. Aku tidak pernah terfikir akan ke sini. Disebabkan aku tiada kerja waktu itu aku pon pergi. Sebulan lebih disana. Setelah hampir 2 minggu disana aku diberitahu Pak Ya akan kesana sebagai pemerhati jangka pendek, (aku pula pemerhati jangka panjang). Aku cukup gembira bertemu Pak Ya di Sar-e-pul, yang terletak di sebelah utara Afghan. Lalu kami menghisap tembakau Afghan, Hashish yang cukup lazat. Beberapa hari selepas itu Yunus jatuh sakit. Cirit birit. Entah apa yang dia makan. Maklumlah dia memang suka makan. Puas lah aku mencari jalan. Nak ke klinik dibandar jauh dan bahaya nasiblah ada doktor kampong. Apabila pulang ke Kabul, Yunus belom pulih sepenuhnya. Sampai ke Kuala Lumpur dia sakit. Lama juga baru dia sembuh. Sebelum berangkat ke Afghan Yunus ada memberitahu aku supaya jangan rapat sangat dengan kaum lelaki disana. Ada antara mereka yang gemar meliwat dan jangan memandang wanita disana terlalu lama, bahaya. Dan sebelum Yunus tiba di Afghan kami sering berbalas e-mail. Isi kandungannya aku terpaksa rahsia kan..hahaha

Negeri Sembilan Oktober 2009

Sekali lagi pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang. Yunus sakit ketika ini. Teruk batuknya dan cepat penat. Tetapi dia masih lagi gagah untuk bekerja. Kadang kala naik takot aku mendengar batuknya. Tangannya menggigil dan selalu demam. Badannya telah all-out sewaktu begerilya. Latihan komando telah membuatkan Yunus over-work dan itulah sebabnya dia selalu sakit. Tapi Yunus tidak berganjak. Semangatnya cukup keras. Itu yang membuatkan aku salute padanya. Ubat-ubatannya cukup banyak. Satu untuk buah pinggang satu untuk darah tinggi, gaout dan lain-lain. Tapi seperti biasa Yunus makan apa sahaja yang lazat. Kadang kala dia beritahu aku, “eh aku makan kambing ni ko jangan bagitahu black atau tad, bising nanti mereka,” Aku hanya mengangguk dan bersubahat. Nak dilarang tak boleh maklumlah orang tua. Penggal itu, Yunus sudah kurang bercakap. Penat agaknya kerana badannya letih.

2010.

Awal tahun lalu Yunus masuk Hospital, Berminggu-minggu di wad. Makan ubat dan ubat. Selalu dia menghantar sms katanya dia bosan. Aku datang dan membawa buku untuknya. Kami berborak-borak tentang itu dan ini. Setelah dia sembuh, selalu juga dia mengajak aku singgah di office NIEI di bangsar untuk melepak. Bosan agaknya dia.

June 2010, Sekali lagi Yunus ke hospital. Kali ini teruk. Badannya lemah dan darah putih nya terlalu banyak. Sebulan di hospital. Keadaanya tidak bertambah baik.

Julai 2010, Bukit Bintang, Yunus dengan gagahnya memandu ke Bukit Bintang. Rumah Tad. Di rumah Tad Yunus melepak disitu banyak cerita yang keluar. Macam macam sejarah hidup nya. Bagaimana dia mengorat gadis Australia hingga lah ke cerita dia menjadi Spy di Itali dan London. Ini kisah benar bukannya rekaan. Yunus adalah bekas perisik PLO dan bekas juru iring Yasser Arafat (salah seorang bodyguard). Betapa hebatnya Yunus. Di Itali dan London dia bertindak sebagai mata-mata. Memerhati gerak geri dan mencatit segala apa maklumat yang berguna untuk PLO.

August 2010, Yunus ke Hospital Selayang. Keadaannya bertambah teruk. Penyakitnya melarat. Tapi syukur beberapa hari sebelum raya dia dibenarkan pulang. Pak Ya semakin kurus, lemah bila berjalan. Dua hari sebelum raya, aku menerima sms darinya, “Kau ada dimana, datanglah ke rumah aku, aku masak tengahari”. Lauk yang dimasak cukup gila. Seperiuk besar kari daging kambing, sambal tumis ikan bilis, ikan bakar dan nasi. Aku datang bersama black dan Syafik…Ketika itu aku tidak menyangka, itulah lauk pertama dan terakhir Pak Ya masak untuk aku.

25 September 2010.

Sehari sebelum itu, 24 September, aku mendapat sms dari black. Katanya pergi melawat Pak Ya, kerana Maria isteri nya tiada. Aku menyangka Pak Ya ada dirumah dan kerana terlalu sibuk bekerja aku terlupa. Keesokkan harinya, 25 Sept, Nazri menghantar sms, Pak Ya sudah behenti bernafas. Begegas aku mencari maklumat. Rupa-rupanya dari semalam lagi Pak Ya sudah berada di hospital Selayang. Bergegas aku kesana.
4.15 petang sms dari Hishamuddin Rais, Pak Ya telah tiada. Setibanya aku di sana aku melihat Maria dan tiga anak lelaki nya sayu. Dihadapanya, tubuh kaku seorang pejuang. Putih pakaiannya. Aku bagai tidak percaya. Pak Ya menghidapi komplikasi secara tiba-tiba. Badannya tidak dapat menerima tindak balas itu. Organnya tidak dapat berfungsi. Lalu pergi mengadap Ilahi.

26 September 2010, Kuala Kangsar

Tempat Yunus dilahirkan, sebelah kubur arwah emak dan ayah dia ditalkin dan dikambus. Pak Ya pernah berkata, “Aku kalau nak mati dah lama aku mati. Aku rasa semuanya. Tiada apa yang nak disesalkan lagi”. Hari itu aku memberi tanda Salute terakhir kepada komrad yang berjuang demi keadilan. Yunus, bukan calang calang manusia, Bagi aku Yunus tetap saorang yang Shahid. Salute Yunus semoga aman kau disana. Kami yang disini akan mengingati pengorbanan kau.

Yunus b Lebai Ali (1951-2010)

2 comments:

  1. Salam,
    Tulislah buku atau artikel untuk dia. Kisah pejuang ni terlalu sedikit. Anak2 muda tak kenal dan tak teruja jadi pejuang. Ramai yang hanyut dengan hiburan dan program realiti yang tak habis-habis.
    Al Fatihah untuk Allahyarham Pak YA.
    - Aunty Nila -

    ReplyDelete
  2. ada dah niat hendak membuat buku sebelum arwah pergi lagi..tapi ntah mana silapnya..mungkin suatu hari nanti insyaallah

    ReplyDelete