Monday, July 18, 2011

Sudut pandang saya

Saudara sekalian, izinkan saya mengambil contoh cerita dibumi Palestin. Mengapakah jika apabila kita menonton di kaca TV akan penentangan rakyat Palestin dibumi mereka kita akan berasa bahawa ianya adalah satu perjuangan yang telus. Mengapa sewaktu kita melihat mereka berdemo di bandar Ramallah dan Gaza, kita turut berasa bahawa kita mahu bersama mereka.

Apabila askar Zionist itu menembak rambang wanita dan kanak kanak kita berasa marah dan geram. Dan mengapa kita tidak sesekali berkata bahawa, perhimpunan rakyat Palestin itu adalah perhimpunan haram yang akan menganggu gugat sistem ekonomi negara Palestin itu sendiri.

Perhimpunan rakyat Palestin itu adalah sia sia dan hanya membawa mudarat kepada rakyat mereka sendiri. Mengapa kita tidak berkata begitu? Hanya kerana mereka beragama Islam? Hanya kerana mereka itu rakyat Palestin yang terkandung ceritanya di dalam Al-Quran?

Pada minggu yang lepas sewaktu perhimpunan haram Bersih, saya yang tidak berada di dalam kota Kuala Lumpur, memerhatikan dari ruang alam maya rata-rata menggelarkan bahawa mereka mereka yang turun di jalan raya itu hanya membawa musibah dan bencana. Kerosakan dan pembaziran masa. Tidak kurang dengan runtuhnya sistem ekonomi negara. Saya tidak membangkang, itu pendapat mereka sekalian yang lahirnya dari akal fikrah kita sendiri.

Tetapi saya hairan mengapa kita melihat perjuangan rakyat Palestin itu satu perjuangan yang hakiki tetapi tidak melihat perjuangan dibumi sendiri itu sebagai perbuatan yang sah. Dengan alasan, Bersih sudah dipolitik kan? Ambiga bukan seorang beragama islam dan negara ini sudah sememangnya aman?. Apa situasi di Palestin tidak pernah dipolitikkan? Apa rakyat palestin itu semuanya Islam? Apa Palestin dahulu tidak pernah aman?

Ada pon tulisan ini bukan mahu mempertikaikan pandangan dan kepercayaan saudara sekalian. Tetapi 1 perkara yang kita lupa bahawa, dimana wujudnya penindasan, maka muncullah penentangan. Ini bukan teori yang direka reka dan bukannya rekaan saya. Ini satu perasaan yang wujud di dalam tubuh badan manusia yang tidak kira usianya.

Jika kanak kanak berusia 7 tahun kita rampas mainannya, maka dia sendiri akan memberontak menangis. Jika kita mencuri wang dari kawan sendiri, masakan kita mahu berdiam diri. Masakan rakyat Yahudi dari Poland berdiam diri sewaktu Hitler melancarkan genosid keatas puak Yahudi di eropah. Sudah tentunya tidak. Masakan UMNO berdiam diri ketika rakyat cuba meluahkan amarah di jalan raya? Jawapannya sila baca Utusan Malaysia.

Dari situ jelas bahawa dimana ada penindasan pasti wujudnya penentangan. Apa yang paling wajib difahami adalah apa yang diperjuangkan itu. Bukan menilai dari sudut rupa wajah jasad yang memimpin. Saya suka percaya bahawa setiap perkara itu mempunyai dua wajah yang berbeza sama seperti wang syiling. Adanya kaum manusia yang menyokong ideologi Nazism, ada yang tidak. Ada yang menyokong Bersih ada yang tidak.

Melihat perjuangan Palestin sebagai gerakan yang benar dan sah adalah tindakan yang betul, tetapi menyalahkan gerakan Bersih dengan kenyataan kenyataan yang tidak masok akal adalah satu pilihan yang salah. Ini sudut pandang dari saya. Kerana sudah saya katakan, menilai perjuangan itu harus dilihat dari sudut apa yang dibawa untuk pembaharuan. Dan jangan kita lupa bahawa setiap penindasan itu akan wujud bersama penentangan. Yang kita mahu hanya perbaharuan dan hak, dan pembaharuan serta hak itulah yang turut dituntut oleh darah rakyat Mesir, Syria, Tunisia, Libya, China, Cuba, Burma, Sudan, Timur Timor, Afghanistan, Iraq, Palestin dan bumi bertuah Malaysia.

No comments:

Post a Comment