Monday, September 28, 2009

Aku sebatang pen dari Emas dan Berlian

Aku sebatang pen dari Peranchis. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Toulouse. Adik beradik aku cukup ramai, beribu-ribu saudara mara aku. Tapi dalam banyak-banyak adik beradik aku, akulah yang paling istimewa dan yang paling cantik. Badan aku diperbuat dari emas. Berkilat berkilau badan aku dan ramai yang memuji aku kerana aku sangat cantik. Bukan setakat itu saja, dihujung kepala aku ada sebutir berlian dari Congo. Berlian Congo ini sangat lah terkenal sejak berkurun lamanya. Mana aku tahu, aku terdengar seorang manusia berkata-kata dibelakang aku tempoh hari.

Aku dibalut dengan kain sutera negara China untuk memastikan aku tidak calar dan kotor dari tangan manusia. Sebuah kotak khas untuk tempat aku berehat dan aku di pamerkan dari sebuah peti kaca yang siap dengan alat penggera. “Begitu dahsyatnya aku dari engkau manusia, hahaha”, gelak aku melihat manusia gemuk yang sedang memerhatikan aku.

Suatu hari aku terdengar perbualan manusia-manusia diluar sana. Mereka ingin memiliki aku. “Gila apa mereka ini, tak tahu ke aku diperbuat dari emas dan berlian dan aku sangat mahal” kata aku sendirian. Ternyata aku silap, mereka ini orang orang kaya yang hartanya tak akan susut sehingga hari kiamat. Tapi siapa mereka ini? Bagaimana mereka boleh jadi begitu kaya raya? Apa hasil kerja mereka? Aku termanggu sendirian.

Tiba-tiba peti kaca aku dibuka, aku membuka mata dan melihat seorang manusia lelaki yang bersih mukanya dan kelihatan segak bertali leher tersenyum takkala melihat susuk aku. Dengan dialek inggeris dia bertanya kepada penjaga aku. “Mr Robert, How much?” katanya pendek. “500,000 dollars Mr. H, This pen is not just a pen, look at the diamond, do you know how many lives were sacrifice just to get this one bloody diamond Mr. H?”
“I know I know Robert” balas Mr. H yang jelas sekali tidak tahu berbahasa Inggeris.

Lalu pintu kaca aku ditutup semula dan mereka menuju ke dalam pejabat untuk berbincang. Dari apa yang aku dengar Mr. H ini seorang ahli politik merangkap seorang yang berpengaruh di sebuah negara di Asia. Negara mana aku tidak tahu.

Satu hari ketika aku sedang bersantai, sekali lagi pintu kaca aku dibuka. Aku terus diangkat dan di bersihkan. Sejurus selepas itu aku di letakkan di dalam sebuah kotak bersalut perak dan tiba-tiba semua menjadi gelap………

Bersambung,

1 comment: