Thursday, August 4, 2011

Nasi kosong dan kuah kari

Aku berbuka dengan nasi kosong dan kari daging yang aku masak sendiri. Tiada kuih tiada air buah tiada kurma dan tiada teman. Selama 25 tahun ini lah kali pertama aku merasai ramadhan sebegini. Walaupon aku bukannya penganut yang taat, namun perasaan untuk merasai nikmat berbuka itu masih ada.

Sewaktu aku membesar aku tidak gemar berbuka bersama emak dan arwah bapak, aku lebih suka ke rumah nenek yang jauh nya hanya 30 langkah tapak kaki dari rumah orang tua aku. Sebabnya disana suasananya meriah, juadahnya banyak walaupon kebanyakkan hari nya aku tidak berpuasa. Dirumah orang tua aku, hanya emak dan bapak, kedua dua kakak aku sudah pon berumah tangga ketika usia aku baru 8 tahun. Abang aku aku tidak ingat, mungkin dia ada bersama aku ataupon dia kerumah pakcik yang juga tidak berapa jauh.

Setelah bapak pergi, aku masih berbuka di rumah nenek kerana suasananya, emak sudah memahami tetapi kadang kadang aku berbuka dengannya cuma jarang dan dia tidak kisah. Di asrama juga begitu sehingga ke universiti, asalkan suasananya meriah aku akan pasti gembira.

Tapi, itu semua hanyalah kenangan, rumah nenek tidak semeriah dahulu, semua membawa haluan, aku percaya ini lah perjalanan hidup setiap manusia. Yang datang pasti akan pergi, yang muda pasti akan tua, yang gagah pasti akan lemah dan yang dikasihi ada kalanya mengkhianati. Mungkin begini lah perasaan Yunus di Lebanon sewaktu mengangkat senjata, maut ada menanti setiap masa, mungkin begini lah perasaan emak yang juga keseorangan, mungkin begini lah perasaan Muhammad ketika dibenci Bani Quraisy, mungkin beginilah perasaan banduan banduan dipenjara, mengigati yang dikasihi, merindui yang disayangi menyesali seribu janji.

Kita hanya mampu berjalan mampu mendongak tapi belom pasti dapat mengagak apa yang menanti. Salah dan silap itu sudah pasti terjadi, tengking herdik itu kadang kala permainan diri. Itulah kita jasad yang selalu alpa jasad yang entah berapa kali bersumpah berjanji.

Ramadhan setiap tahun kita akan memberi kata yang sama, meminta pengampunan yang sama, menangis atas kesilapan yang sama, tapi kita lupa, yang kita hanya jasad lemah dari secebis tanah. Rayakan ramadhan ini bukan hanya semata mata mahu mencari firdausi, perbaiki diri dan duniawi.

Salam Ramadhan dari Gwangju.

No comments:

Post a Comment