Thursday, August 6, 2009

Wrestling, Joget, dan Anjing Kurap

Baru selesai menghabiskan report untuk hari esok. Hari Jumaat adalah hari wajib bagi pemantau untuk menghantar report menerusi internet ke Kabol. Waktu Malaya hampir 4 pagi. Disini 0010 tengah malam. Aku memang berniat untuk tidor lewat malam ini. Selalunya jam 1000 malam aku sudah tidak lagi sedar.

Dari tadi (sebelum membuat report) aku menghabiskan masa melepak bersama beberapa guard di luar kamar. Kami berbual kosong sambil ditemani seekor anjing kurap. Anjing ini anjing tidak bertuan. Ia akan berlegar-legar didepan pintu masok ke rumah tumpang aku. Narjit yang baik hati akan selalu memberi ia makan pada waktu malam. Pelahap sungguh anjing ini sehinggakan tulang ayam habis ditelan. Sup sayur habis dihirup. Buah Kharbuza (melon) pon ditelan. Kelaparan agaknya. Aku asyik melihat gelagat anjing ini yang kadang-kadang menyalak tak tentu pasal.

Tidak jaoh dari tempat tinggal aku kelihatan cahaya terang dan bunyi-bunyian yang jelas dan kuat. Seperti ada keramaian, lalu aku bertanya pada guard apakah bunyian itu. Sahlah ada keramaian, ada kenduri kawin. Lalu dia bertanya mahu kah kau pergi? Aku ok saja tetapi tidak mungkin dibenarkan keluar kerana sudah malam. Aku teringat majlis kahwin di Malaya. Pastinya ada band ataupon karaoke. Disini ada joget dan tarian sambil dipalu gendang yang bunyinya seakan-akan lagu hindi. Asyik sekali dan kuat bunyinya. Jarak nya aku rasa ada dalam sekilometer tapi jelas didengar.

Kami teruskan berbual-bual sehingga masok ke topik menonton TV. Disini pengaruh wrestling masih kuat. WWE, WCW dan macam-macam lagi menjadi hit bagi mereka. Aku beritahu mereka aku tidak minat sukan ini, aku minat bola. Mereka beria-ria bercerita tentang John Cena, Triple H dan entah sapa-sapa entah. Aku ini jadi tukang gelak saja. Sambil mengendong AK-47 dibahu mereka bercerita tentang syoknya menonton wrestling, aku hanya gelak dan gelak dan gelak kerana mereka sememangnya kelakar.

Sudah tidak lagi kedengaran bunyi gendang dan ombak tarian hanya nyalakkan anjing sekali-sekala menemani aku. Guard yang tadi lincah sudah mula menguap kerana suhu diluar mencecah 17 darjah celcius. Tapi aku belom mengantuk.

2 comments: